Sunday, December 28, 2008

Bertemu Ust Mael Pendekar

Malam semalam sempat saya bersua, beramah mesra bersama seorang senior, Ustaz Ismail atau gelaran beliau Ustaz Mael. Malah ada yang menggelar beliau sebagai ‘Tok Guru’. Mana tidaknya, gaya beliau terutama janggut dan gaya bahasa beliau iras-iras Tok Guru Nik Aziz. Tidaklah serupa, tetapi gaya nya seakan ada.


Kami berbincang, bersama dua lagi sahabat saya, Fahmi dan Syafi’in. Pada awalnya berkenaan hal-hal semasa, tentang debat Husam-Khairi dan isu Hudud, tentang kursus dan keputusan peperiksaan, tentang kahwin dan keluarga. Namun tanpa dirancang saya membangkitkan tentang silat. Lantas, diskusi mula berfokus ke arah dunia persilatan.


Sehebat Tok Janggut, begitu bersungguh Ust Mael beriwayat. Segagah dan setangkas pendekar Melayu Islam pembela agama, beliau menunjukkan beberapa gerak langkah. Sempat saya belajar belajar, walau hanya satu dua sahaja. Cukup kagum saya, melihat seorang yang mantap tarbiyahnya. Bukan sekadar Jasadi, malah Rohiyah nya juga tidak kurang.


Sebelum berizin pulang, kami menerima buah tangan. Sepatutnya, yang melawatlah yang menghadiahkan, ini pula terbalik jadinnya. Ini bukan sembarangan buah tangan, ini buah tangan seorang pendekar. Buah tangan berupa pesanan, buat diri yang sedang kehausan tsaqofah.


‘Sebelum jadi pemimpin, fahami dahulu agama!’


‘Malulah untuk berbuat dosa, jangan sampai kita menjadi penggalak kepada orang untuk bermaksiat kerana orang melihat tindak tanduk perilaku kita’


‘Dalam sehari, bacalah al-Quran dan hadirilah majlis ilmu’


‘Nik Aziz, tertinggal qiam tiga kali dalam setahun, sudah berduka, gunda- gulana. Kita pula bagaimana? Buat tiga kali setahun pun dah tiada mampu?’


Agak terkesan sindiran beliau. Pedas dan menyengat, tetapi benar. Begitu menjaga tarbiyah, dan sangat peramah berkongsi ilmu, memberi pesanan buat bakal pemimpin. Nak tak nak, akan menjadi pemimpin jua. Oleh itu, perlu bersedia!


‘Sebelum tidur, niatlah untuk bangun malam. Sebelum mula solat, bacalah sepuluh ayat terakhir surah ali-Imran serta tadabbur, fahamkan maksudnya. Solatlah beberapa rakaat, seiras tarawikh pun molek.’


Mutiara tadi dipetiknya dari kitab di tangan beliau, tampak seakan urat dawai merangkai di sebalik kulit sawo matang itu. Sempat saya menjeling kulit kitab hitam itu. Jelas tertulis ‘Fikih Sunnah’. Kami pulang dengan seribu pengajaran dari seorang pendekar, penghancur semangat juang musuh!

Thursday, December 18, 2008

Result? - Usah DiTanya Lagi

Akhirnya penantian beberapa minggu terjawab jua. Usaha berbilang purnama jua membalas hasilnya. Benih yang dijaga akhirnya menumbuh. Namun, bukan padi yang subur merimbun, tapi lalang yang nyata melata. Lalang yang masih tiada pasti akan manfaatnya.

Keliru. Benih mana yang disemai selama ini? Air siraman mana yang diserapkan? Baja mana yang ditaburkan? Sinaran mana didedahkan? Angin mana yang dibelaikan? Pagar mana yang dibentengkan? Cukup celaru! Haru-biru.


Ataukah gagal penjagaan ini? Ataukah terlalu kotor tangan ini untuk menggapai ilmu? Ataukah terlalu kelam hati ini untuk menerima hikmah? Ataukah terlalu keruh minda ini untuk manakung khazanah-Mu ya Rabbi?


Sukar digambarkan persaan ini. Terharu? Bukan. Gembira, jauh sekali. Sedih? Pilu? Sakit? Pedih? Tiada guna untuk meratap pada sesuatu yang mendukacitakan. Sepahit mana pun, perlu ditelan. Sesakit mana pun perlu ditahan. Apa yang jelas ialah hati ini kosong tanpa perasaan, seakan tiada yang perlu dirasakan. Namun jauh di sudut hati kecil ini, merintih.


Tiada pernah berhadapan keputusan sebegini dalam hidup. Agak sukar diri untuk menerima realiti ini, seakan mimpi yang akan hilang apabila terjaga. Yang hanya berlaku seketika cuma, yang sekadar khayalan lena. Namun hakikat bila terjaga, mimpi yang penuh gelap itu masih melanda. Keputusan itu bukan mimpi, nyata ia realiti. Sungguh menyiksakan!



Cukup benar kata mu duhai as-Syafi’e,


ILMU itu CAHAYA, dan cahaya ALLAH tidak akan dapat oleh ahli maksiat!”


Masih adakah lagi ruang untuk ku? Masih sempatkah untuk ku memperbetulkan haluan ini? Masih layakkah diri untuk bergelar Pengembara Ilmu, Pencari Khazanah Hikmah? Masih kuatkah bahu ini? Masih kentalkah hati ini? Masih teguhkah iman ini?

Wallahu'alam... Hanya Dia bisa ketahui.



Sabda kekasih tercinta (s.a.w.),


ILMU itu KHAZANAH yang telah HILANG dari orang MU’MIN. Sekiranya kamu mendapati ia di mana-mana, maka kamu BERHAK untuk mengAMBILnya”

Wednesday, December 10, 2008

Lapang Masa Pemuda


Monday, November 24, 2008

Lambaian dari Lembah Bakkah

Alhamdulillah, tiada terhitung puji-pujian buat-Mu Tuhan Pemelihara sekalian makhluk di langit dan di bumi. Akhirnya ayah bonda selamat tiba di Jeddah dari KLIA pada jam 11 waktu Makkah, 6 di Malaysia, malam hari. Bukan senang, bahkan menjadi dambaan setiap insan bergelar muslim untuk ke Tanah Haram, tanah lahirnya kekasih tercinta.



Lembah Bakkah, bilakah pula diri ini akan ke sana. Bilakah agaknya dapat ku sahut lambaian Kaabah itu. Bilakah nanti ciuman Hajarah al-Aswad bakal bertandang, membersih dosa-dosa ini.



Duhai lembah yang menyimpan seribu satu sejarah, tengok-tengokkanlah ayah serta bonda ku yang tercinta di sana. Sampaikanlah salam rindu dari ku, buat kedua permata ku itu agar tenang diri ini dan dirinya berdua. Moga terlakar sejarah haji mabrur jemaah musim ini di tanah bergelar Paran (di dalam Bible).



Usah dikenangkan kami di tanah hadhari ini, tanah perjuangan buat para sahabat aktivis. Amanah yang dikau berdua tinggalkan akan ku laksanakan setaat mungkin. Pergimu berdua diiring doa, semoga dilindung Tuhan Pemilik alam maya ini sentiasa hendaknya. Pergilah menyahut seruan itu, seruan buat pencari cinta Ilahi, cinta tiada mati, cinta yang hakiki, cinta abadi.







Kefahamanku Yang Terpuji,

24 November 2008

Ketereh, Kelantan.

Sunday, November 2, 2008

Opick - Tombo Ati

Tiada apa yang ingin dikongsikan. Cuma sekadar bait-bait lagu dari Opick, ‘Tombo Ati’ yang membawa maksud ‘Ubat Hati’. Terkadang hati kita berasa gundah gulana, resah gelisah dan keluh kesah. Hati yang menjadi raja segala anggota, baik hati – maka baiklah anggota, itu pesanan baginda.

Hati yang tetap pada Allah adalah milik para Rasul-Nya. Hati kita pula selalu berbolak-balik, terumbang-ambing, dan terkotang-kanting. Namun istimewanya kita adalah pada mujahadah dan taubat. Hati ini sering bertarung bila sahaja terasa ingin pada maksiat dan rasa menyesal yang amat apabila berdosa, lantas bertaubat.

Namun duhai sahabat, jangan jadi seperti hati yang satu ini. Hati ini kering daripada siraman jernihnya tarbiyah. Hati ini milik mereka yang jauh dari Tuhan. Bahaya hati jenis ini ialah syaitan laknatullah pegang dan memainkan hati mereka seperti bola yang ada pada tangan anak-anak kecil. Mudah amat untuk dilemparkan ke mana-mana, sesuka hati.


Jom! Hayati dan fahami lagu ini. Liriknya ringan dan senang untuk difahami, maksud saya yang lirik yang berbahasa Melayu.

tombo ati - opick

Opick – Tombo Ati

Tombo ati iku limo perkarane
Kaping pisan moco Qur'an lan maknane
Kaping pindo Sholat wengi lakonono
Kaping telu wong kang sholeh kumpulono
Kaping papat kudu weteng engkang luwe
Kaping limo dzikir wengi engkang suwe
Salah sakwijine sopo biso ngelakoni
Mugi-mugi Gusti Alloh nyembadani

Obat hati ada lima perkaranya
Yang pertama baca Quran dan maknanya
Yang kedua sholat malam dirikanlah
Yang ketiga berkumpullah dengan orang sholeh
Yang keempat perbanyaklah berpuasa
Yang kelima dzikir malam perpanjanglah
Salah satunya siapa bisa menjalani
Moga-moga Alloh Taala mencukupi
Moga-moga Alloh Taala mencukupi

Zikir bagi hati itu umpama air bagi ikan. Tanpa air ikan akan mati. Begitu jualah hati manusia akan mati tanpa zikrullah” – ibnu Taimiyah.

Tuesday, October 28, 2008

Saya Suka Kordial Kurma!

Seakan tidak sedar, entah bila saya mula meminati kordial kurma. Kebiasaannya saya suka minum nescafe, milo atau ali cafe. Tetapi kali ni lain pula jadinya, kordial kurma jadi pilihan hati. Hampir setiap hari minum jus kurma. Kurma oh kurma, sukarnya menyingkirkan dikau dari hidupku tika ini. Kenapa ya? Ku semakin menyukai jus kurma...


Semakin hari, semakin habis kordial kurma ku ini. Ibarat nyawa insan, semakin lama semakin sedikit. Tiap detik kian menghakis, dari saat ke saat ia dikikis masa. Hingga suatu hari, tanpa sedar, kita sudah menghadap Sang Pencipta...

“Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati” [ali-Imran:185]


Abdullah bin Umar r.ahhuma berkata, bahawa ketika sedang duduk di sisi Rasulullah s.a.w. lalu datang seorang lelaki memberi salam dan bertanya kepada Rasulullah s.a.w.: “siapakah yang lebih utama (lebih baik) di kalangan orang yang beriman?” Jawab Rasulullah s.a.w.: “orang yang lebih baik di kalangan orang beriman ialah mereka yang berakhlak mulia”. Kemudian lelaki itu bertanya lagi: “Siapakah orang yang paling cerdik di kalangan orang beriman?” Jawab Nabi s.a.w.: “Orang yang paling cerdik ialah mereka yang banyak mengingati mati, dan banyak membuat persiapan untuk menghadapi kematian.”

Saturday, October 25, 2008

Final Sem Exam!





Pada 27 November nanti bermulalah fasa study week untuk kebanyakan warga kampus hijau Universiti Malaya. Namun tiap kali melihat jadual exam, diri menjadi semakin resah dan gelisah akibat kurangnya persediaan diri. Seakan-akan kosong minda ini, hanya ruang vakum yang mengisi kekosongan daerah simpanan data dalam otak. Rasannya sangat takut untuk muhasabah, kerna terlalu banyak yang tidak tahu. Hanya Allah yang Maha Mengetahui...



03 November

11:30 [L_A]

GXEX1401 – KEMAHIRAN MAKLUMAT



05 November

11:30 [A1]

KXEX1145 – ALGEBRA KEJURUTERAAN



07 November

15:00 [DTC]

KCEC1101 – COMPUTER AIDED DESIGN



10 November

08:30 [A2]

KCEP1102 – THERMAL FLUID



12 November

08:30 [A2]

KCEP1103 – INTRO TO MANUFACTURING



13 November

15:00 [A1]

KCEC1106 – STATIC



Raut wajah bonda dan ayahanda selalu bermain di fikiran. Risau akan menghampakan mereka kerna gagal untuk menunaikan janji untuk belajar dengan tekun. Kesal, kerna terlalu banyak masa dihabiskan begitu sahaja. Fiqh Aulawiyat gagal ku kuasai dengan sebenarnya. Fiqh Muazanat apatah lagi. Terasa sangat gagal diri ini untuk menjadi hamba Allah yang bertaqwa, apatah lagi untuk menjadi seorang mujahid di medan akademik.



Rasa serba salah tiap kali ditegur oleh senior-senior, yang masih belajar dan jua yang sudah di alam pekerjaan. Pertemuan dengan seorang super senior yang terlibat dengan ABU MEOW semalam jelas telah berjaya menjelaskan banyak perihal ISLAM. Terlalu banyak motivasi diperoleh. Alhamdulillah, segenap puji bagi mu ya Allah, tuhan sekalian alam. Tuhan kepada Adam, Isaac, Jacob, Moses, Jesus, dan Muhammad (may peace be upon them all). Syukran katsira ya Rabbi...



Duhai sahabat-sahabat, doakanlah sahabatmu di sini.



“Ya Allah, bantu hamba-hambaMu yang sedang berjuang ini, walau apa pun jua medan dan waqie’ kami ya Tuhan. Kepada Mu jua lah kami memohon, dengarkanlah doa ini ya Rabb al-alamin..”

Wednesday, October 22, 2008

Gagal? - stress out!







Pagi tadi saya telah menduduki ujian Thermal-Fluid. Amat menyedihkan. Daripada empat soalan diberikan, hanya satu soalan sahaja berjaya saya jawab. Dua soalan gagal saya faham, dan sepertinya saya tidak pernah belajar tentang perkara tersebut. Keadaannya seperti seseorang yang belajar biologi sedang menghadapi soalan perakaunan. Tidak tahu apa-apa. Kosong. Blank. Nothing!





Satu lagi soalan turut saya jawab, namun jawapannya tidak seperti jawapan. Tidak pernah saya merasakan segagal ini dalam pelajaran. Seperti orang bodoh lagaknya. Setelah selesai menjawab dua soalan tersebut, saya terus menghantar kertas jawapan kepada pensyarah.



“You are going to FAIL if you continue like this”, kata penyasarah berbangsa Iran tersebut.



“If you don’t change, you will NOT SUCCEED!”, tambah beliau lagi.



Hanya diam menjadi tutur bicara ketika itu. Terkesima lantaran luahan ikhlas seorang mu’allim terhadap diri yang mengaku pelajar. Saya cuba mencari kata-kata yang sesuai untuk berkata, namun gagal. Hanya ucapan penghargaan sahaja mampu saya tuturkan, tanda terima kasih atas keperihatinan seorang guru.



“Thank you, Doc.”



Seakan tidak mampu lagi melangkah pulang, namun saya kuatkan jua langkah ini kerana perjalanan ini masih jauh. Tidak nampak lagi mana hujungnya. Tiada guna untuk bersedih ketika ini. Tiada guna untuk mengeluh dengan kesilapan silam, yang akan terus membuat diri resah dan gelisah. ‘Belenggu study’ benar-benar menguji diri ketika berjuang di jalan-Nya. Ditambah pula dengan pelbagai jenis masalah di tempat tinggal, kadang-kadang menyiksakan terutama di fasa akhir semesta ini.



Namun, jangan bersedih wahai hati. Ukirlah senyuman di wajahmu, ‘strong muslim smiles in trouble’. Bersyukur kepada Allah kerana masih lagi memberi waktu untuk menyelesaikan semua ini, alhamdulillah. Masih ada lagi baki satu minggu ‘study week’ saya bermujahadah. Berperang dengan pelbagai belenggu dunia di kampus. Bak kata sahabat saya, saudara Ridzuan Ariffin, SPM – Susah Payah dan Mujahadah!



Terkadang terfikir juga, sampai bila hendak berterusan sebegini. Adakah saya dilahirkan untuk gagal?



Tidak!



Sesungguhnya Allah telah mengurniakan nikmat ‘AQAL fikiran untuk kita manfaatkan. Allah beri kita MASA untuk kita gunakan. Dan Dia tidak akan mengubah, selagi mana kita tidak berubah, selagi mana kita masih di takuk yang lama, masih hanyut dalam dunia kita sendiri.



Jangan bersedih, kerana kesedihan hanya akan membuatkan siang seakan malam, cerah bertukar mendung, manis terasa pahit, indah tampak buruk, nikmat seakan laknat!



Jangan bersedih, kerana kita masih lagi memilik dua mata, dua telingan, dua bibir, dua tangan dan dua kaki, lidah, dan hati, kedamaian keamanan dan kesihatan tubuh badan. Jangan bersedih, kerana kita masih bernafas dalam Islam!



“Maka, nikmat Rabb-mu yang manakah yang kamu dustakan?” [ar-Rahman: 13]



Mengapa harus bersedih? – sedikit ekstak daripada kitab La Tahzan karangan Dr. ‘Aidh bin ‘Abdullah al-Qarni.