Wednesday, October 22, 2008

Gagal? - stress out!







Pagi tadi saya telah menduduki ujian Thermal-Fluid. Amat menyedihkan. Daripada empat soalan diberikan, hanya satu soalan sahaja berjaya saya jawab. Dua soalan gagal saya faham, dan sepertinya saya tidak pernah belajar tentang perkara tersebut. Keadaannya seperti seseorang yang belajar biologi sedang menghadapi soalan perakaunan. Tidak tahu apa-apa. Kosong. Blank. Nothing!





Satu lagi soalan turut saya jawab, namun jawapannya tidak seperti jawapan. Tidak pernah saya merasakan segagal ini dalam pelajaran. Seperti orang bodoh lagaknya. Setelah selesai menjawab dua soalan tersebut, saya terus menghantar kertas jawapan kepada pensyarah.



“You are going to FAIL if you continue like this”, kata penyasarah berbangsa Iran tersebut.



“If you don’t change, you will NOT SUCCEED!”, tambah beliau lagi.



Hanya diam menjadi tutur bicara ketika itu. Terkesima lantaran luahan ikhlas seorang mu’allim terhadap diri yang mengaku pelajar. Saya cuba mencari kata-kata yang sesuai untuk berkata, namun gagal. Hanya ucapan penghargaan sahaja mampu saya tuturkan, tanda terima kasih atas keperihatinan seorang guru.



“Thank you, Doc.”



Seakan tidak mampu lagi melangkah pulang, namun saya kuatkan jua langkah ini kerana perjalanan ini masih jauh. Tidak nampak lagi mana hujungnya. Tiada guna untuk bersedih ketika ini. Tiada guna untuk mengeluh dengan kesilapan silam, yang akan terus membuat diri resah dan gelisah. ‘Belenggu study’ benar-benar menguji diri ketika berjuang di jalan-Nya. Ditambah pula dengan pelbagai jenis masalah di tempat tinggal, kadang-kadang menyiksakan terutama di fasa akhir semesta ini.



Namun, jangan bersedih wahai hati. Ukirlah senyuman di wajahmu, ‘strong muslim smiles in trouble’. Bersyukur kepada Allah kerana masih lagi memberi waktu untuk menyelesaikan semua ini, alhamdulillah. Masih ada lagi baki satu minggu ‘study week’ saya bermujahadah. Berperang dengan pelbagai belenggu dunia di kampus. Bak kata sahabat saya, saudara Ridzuan Ariffin, SPM – Susah Payah dan Mujahadah!



Terkadang terfikir juga, sampai bila hendak berterusan sebegini. Adakah saya dilahirkan untuk gagal?



Tidak!



Sesungguhnya Allah telah mengurniakan nikmat ‘AQAL fikiran untuk kita manfaatkan. Allah beri kita MASA untuk kita gunakan. Dan Dia tidak akan mengubah, selagi mana kita tidak berubah, selagi mana kita masih di takuk yang lama, masih hanyut dalam dunia kita sendiri.



Jangan bersedih, kerana kesedihan hanya akan membuatkan siang seakan malam, cerah bertukar mendung, manis terasa pahit, indah tampak buruk, nikmat seakan laknat!



Jangan bersedih, kerana kita masih lagi memilik dua mata, dua telingan, dua bibir, dua tangan dan dua kaki, lidah, dan hati, kedamaian keamanan dan kesihatan tubuh badan. Jangan bersedih, kerana kita masih bernafas dalam Islam!



“Maka, nikmat Rabb-mu yang manakah yang kamu dustakan?” [ar-Rahman: 13]



Mengapa harus bersedih? – sedikit ekstak daripada kitab La Tahzan karangan Dr. ‘Aidh bin ‘Abdullah al-Qarni.

No comments:

Post a Comment