Friday, October 17, 2008

Kembali Hidup

Sudah lama agaknya diri ini tidak mencoret tinta. Sudah lama agaknya jari jemari ini menari-nari bebas di atas papan kekunci. Sudah lama luahan rasa hati dan buah fikiran tidak gugur diatas lampiran fail-fail di laman sesawang, dunia maya ciptaan makhluk bernama insan.



Sudah lama juga aku tidak menulis blog. Mungkin tiada masa, atau kekeringan idea, atau ketandusan ilham daripada Jibril a.s. Dua blog sudah kubina sebelum ini, namun ku-delete jua. Entah kenapa, susahnya diri ini untuk istiqamah, dalam menulis, dalam berjuang, jua dalam pengabdian pada Nya.



Mungkin kerana masih baru mengenal Islam. Bukannya baru syahadah, bahkan lahir pun sudah pun diazankan ditelinga. Tetapi baru cuba memahami secebis , mungkin tak sampai pun secebis, intipati dalam syahadah.



“There is no God but Allah, Muhammad (may peace be upon him) is the messenger of Allah”



Dua kalimah keramat yang membuka pintu syurga ini masih belum kuhadam sepenuhnya. Mungkin hanya bayang-bayangnya sahaja meresap di hati ini. Adakah benar aku mengimani bahawa Allah itu Tuhanku yang satu-satunya, yang tiada lagi selain-Nya? Ataukah sekadar bicara di lidah, dan betul-betul merasakannya hanya apabila ditimpa musibah atau diselubung ketakutan? Atau apabila meminta hajat dan memohon segala jenis kebaikan dan nikmat?



Benarkah Muhammad (s.a.w.) itu aku benarkan, se-as_siddiq-nya Abu Bakr? Adakah aku cuba meniru perwatakan baginda ataupun meniru perwatakan musuh paling nyata, syaitan laknatullah? Pernahkah aku meneruskan perjuangan baginda, menyebarkan as-salam ke seluruh alam? Nak semai Islam dalam diri pun sudah bermasalah, inikan pula dunia terhampar luasnnya.



Terkadang terasa tidak mampu lagi meneruskan hidup ini. Terlalu banyak bebanan yang menimpa-nimpa, seakan ingin remuk kedua bahu ini, ingin hancur luluh hati ini, ingin meledak jantung ini. Tiada tersangka, Allah memilihku dalam kalangan hamba-hambaNya yang lain. Ku sedar, Kau sedang bercakap denganku, hamba-Mu yang lemah ini ya Rabbi...



...Ya Allah, sesungguhnya hamba-Mu ini sangatlah lemah imannya. Maka Engkau kuatkanlah wahai Tuhan yang Maha Kuat agar dapat ku tanggung bebanan yang sangat berat bagiku ini...



“Dan janganlah kamu bersikap lemah dan janganlah kamu bersedih hati padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (darjatnya) jika kamu orang-orang yang beriman.” – [ali-Imran: 139]

No comments:

Post a Comment