Sunday, December 28, 2008

Bertemu Ust Mael Pendekar

Malam semalam sempat saya bersua, beramah mesra bersama seorang senior, Ustaz Ismail atau gelaran beliau Ustaz Mael. Malah ada yang menggelar beliau sebagai ‘Tok Guru’. Mana tidaknya, gaya beliau terutama janggut dan gaya bahasa beliau iras-iras Tok Guru Nik Aziz. Tidaklah serupa, tetapi gaya nya seakan ada.


Kami berbincang, bersama dua lagi sahabat saya, Fahmi dan Syafi’in. Pada awalnya berkenaan hal-hal semasa, tentang debat Husam-Khairi dan isu Hudud, tentang kursus dan keputusan peperiksaan, tentang kahwin dan keluarga. Namun tanpa dirancang saya membangkitkan tentang silat. Lantas, diskusi mula berfokus ke arah dunia persilatan.


Sehebat Tok Janggut, begitu bersungguh Ust Mael beriwayat. Segagah dan setangkas pendekar Melayu Islam pembela agama, beliau menunjukkan beberapa gerak langkah. Sempat saya belajar belajar, walau hanya satu dua sahaja. Cukup kagum saya, melihat seorang yang mantap tarbiyahnya. Bukan sekadar Jasadi, malah Rohiyah nya juga tidak kurang.


Sebelum berizin pulang, kami menerima buah tangan. Sepatutnya, yang melawatlah yang menghadiahkan, ini pula terbalik jadinnya. Ini bukan sembarangan buah tangan, ini buah tangan seorang pendekar. Buah tangan berupa pesanan, buat diri yang sedang kehausan tsaqofah.


‘Sebelum jadi pemimpin, fahami dahulu agama!’


‘Malulah untuk berbuat dosa, jangan sampai kita menjadi penggalak kepada orang untuk bermaksiat kerana orang melihat tindak tanduk perilaku kita’


‘Dalam sehari, bacalah al-Quran dan hadirilah majlis ilmu’


‘Nik Aziz, tertinggal qiam tiga kali dalam setahun, sudah berduka, gunda- gulana. Kita pula bagaimana? Buat tiga kali setahun pun dah tiada mampu?’


Agak terkesan sindiran beliau. Pedas dan menyengat, tetapi benar. Begitu menjaga tarbiyah, dan sangat peramah berkongsi ilmu, memberi pesanan buat bakal pemimpin. Nak tak nak, akan menjadi pemimpin jua. Oleh itu, perlu bersedia!


‘Sebelum tidur, niatlah untuk bangun malam. Sebelum mula solat, bacalah sepuluh ayat terakhir surah ali-Imran serta tadabbur, fahamkan maksudnya. Solatlah beberapa rakaat, seiras tarawikh pun molek.’


Mutiara tadi dipetiknya dari kitab di tangan beliau, tampak seakan urat dawai merangkai di sebalik kulit sawo matang itu. Sempat saya menjeling kulit kitab hitam itu. Jelas tertulis ‘Fikih Sunnah’. Kami pulang dengan seribu pengajaran dari seorang pendekar, penghancur semangat juang musuh!

Thursday, December 18, 2008

Result? - Usah DiTanya Lagi

Akhirnya penantian beberapa minggu terjawab jua. Usaha berbilang purnama jua membalas hasilnya. Benih yang dijaga akhirnya menumbuh. Namun, bukan padi yang subur merimbun, tapi lalang yang nyata melata. Lalang yang masih tiada pasti akan manfaatnya.

Keliru. Benih mana yang disemai selama ini? Air siraman mana yang diserapkan? Baja mana yang ditaburkan? Sinaran mana didedahkan? Angin mana yang dibelaikan? Pagar mana yang dibentengkan? Cukup celaru! Haru-biru.


Ataukah gagal penjagaan ini? Ataukah terlalu kotor tangan ini untuk menggapai ilmu? Ataukah terlalu kelam hati ini untuk menerima hikmah? Ataukah terlalu keruh minda ini untuk manakung khazanah-Mu ya Rabbi?


Sukar digambarkan persaan ini. Terharu? Bukan. Gembira, jauh sekali. Sedih? Pilu? Sakit? Pedih? Tiada guna untuk meratap pada sesuatu yang mendukacitakan. Sepahit mana pun, perlu ditelan. Sesakit mana pun perlu ditahan. Apa yang jelas ialah hati ini kosong tanpa perasaan, seakan tiada yang perlu dirasakan. Namun jauh di sudut hati kecil ini, merintih.


Tiada pernah berhadapan keputusan sebegini dalam hidup. Agak sukar diri untuk menerima realiti ini, seakan mimpi yang akan hilang apabila terjaga. Yang hanya berlaku seketika cuma, yang sekadar khayalan lena. Namun hakikat bila terjaga, mimpi yang penuh gelap itu masih melanda. Keputusan itu bukan mimpi, nyata ia realiti. Sungguh menyiksakan!



Cukup benar kata mu duhai as-Syafi’e,


ILMU itu CAHAYA, dan cahaya ALLAH tidak akan dapat oleh ahli maksiat!”


Masih adakah lagi ruang untuk ku? Masih sempatkah untuk ku memperbetulkan haluan ini? Masih layakkah diri untuk bergelar Pengembara Ilmu, Pencari Khazanah Hikmah? Masih kuatkah bahu ini? Masih kentalkah hati ini? Masih teguhkah iman ini?

Wallahu'alam... Hanya Dia bisa ketahui.



Sabda kekasih tercinta (s.a.w.),


ILMU itu KHAZANAH yang telah HILANG dari orang MU’MIN. Sekiranya kamu mendapati ia di mana-mana, maka kamu BERHAK untuk mengAMBILnya”

Wednesday, December 10, 2008

Lapang Masa Pemuda