Thursday, December 18, 2008

Result? - Usah DiTanya Lagi

Akhirnya penantian beberapa minggu terjawab jua. Usaha berbilang purnama jua membalas hasilnya. Benih yang dijaga akhirnya menumbuh. Namun, bukan padi yang subur merimbun, tapi lalang yang nyata melata. Lalang yang masih tiada pasti akan manfaatnya.

Keliru. Benih mana yang disemai selama ini? Air siraman mana yang diserapkan? Baja mana yang ditaburkan? Sinaran mana didedahkan? Angin mana yang dibelaikan? Pagar mana yang dibentengkan? Cukup celaru! Haru-biru.


Ataukah gagal penjagaan ini? Ataukah terlalu kotor tangan ini untuk menggapai ilmu? Ataukah terlalu kelam hati ini untuk menerima hikmah? Ataukah terlalu keruh minda ini untuk manakung khazanah-Mu ya Rabbi?


Sukar digambarkan persaan ini. Terharu? Bukan. Gembira, jauh sekali. Sedih? Pilu? Sakit? Pedih? Tiada guna untuk meratap pada sesuatu yang mendukacitakan. Sepahit mana pun, perlu ditelan. Sesakit mana pun perlu ditahan. Apa yang jelas ialah hati ini kosong tanpa perasaan, seakan tiada yang perlu dirasakan. Namun jauh di sudut hati kecil ini, merintih.


Tiada pernah berhadapan keputusan sebegini dalam hidup. Agak sukar diri untuk menerima realiti ini, seakan mimpi yang akan hilang apabila terjaga. Yang hanya berlaku seketika cuma, yang sekadar khayalan lena. Namun hakikat bila terjaga, mimpi yang penuh gelap itu masih melanda. Keputusan itu bukan mimpi, nyata ia realiti. Sungguh menyiksakan!



Cukup benar kata mu duhai as-Syafi’e,


ILMU itu CAHAYA, dan cahaya ALLAH tidak akan dapat oleh ahli maksiat!”


Masih adakah lagi ruang untuk ku? Masih sempatkah untuk ku memperbetulkan haluan ini? Masih layakkah diri untuk bergelar Pengembara Ilmu, Pencari Khazanah Hikmah? Masih kuatkah bahu ini? Masih kentalkah hati ini? Masih teguhkah iman ini?

Wallahu'alam... Hanya Dia bisa ketahui.



Sabda kekasih tercinta (s.a.w.),


ILMU itu KHAZANAH yang telah HILANG dari orang MU’MIN. Sekiranya kamu mendapati ia di mana-mana, maka kamu BERHAK untuk mengAMBILnya”

No comments:

Post a Comment