Monday, January 26, 2009

Aku Pelik !!?



Sudah beberapa kali aku digelar insan pelik. Benarkah ini semua? Serasanya, aku ini sememangnya normal, tanpa sebarang mutasi yang ketara. Jua tidaklah aku berbahasa dengan bahasa sanskrit, sehingga janggal untuk masyarakat berhubung denganku. Benar, aku normal. Cukup normal untuk hidup dalam kalangan masyarakat.

“Enta ni peliklah fahmi,” kata seorang senior.

“Ko la paling pelik dalam rumah ni,” ujar seorang teman serumah.

“Kirim salam kat orang paling pelik dalam batch kita,” luah seorang sahabat.

Aku hairan. Masih mencari-cari di mana kepelikan diriku. Blog ku pula, ditempatkan dalam list ‘lain dari yang lain’ oleh seorang senior di fakulti sains. Benarkah aku cukup berbeza? Seakannya, aku ini dari planet di sistem suria lain dalam gagasan Bima Sakti. Aku dilanda kehairanan yang menusuk-nusuk.



Ada jua sahabat yang mengakui ke-normal-an diriku. Entahlah, semakin pening untuk ku memikirkan perkara yang tidak penting itu. Cukuplah ada yang yakin diriku masih normal.

“Orang pelik, jumpa dengan pelik, memang tak rasa pelik!” begitu pula hujah seorang teman.

Aku optimis. Biarlah pelik, andai dengan ke-pelik-an ini mampu menyumbang untuk Islam. Biarlah pelik, jika nanti tertegaknya Islam dengan ke-pelik-an. Bukankah Islam suatu yang pelik, yakni asing di zaman ini? Bukankah kita generasi yang pelik? Bukankah kita ghuraba’?

“Students engine memang terkenal dengan sejarah ke-pelik-kan sejak dulu lagi,” omong seorang akak.




Bagiku, pelik itu hanyalah sekadar paradigma. Sekadar tanggapan yang dicerna daripada pandangan lemah seorang insan, yang tidak mengerti atau memahami secara mendalam tentang sesuatu perkara.

Begitulah ‘pelik’nya Islam di zaman ini. Bagaimana tidaknya, Islam digelar agama
‘terrorism’ hanya kerna mereka melihat beberapa golongan yang sangat minoriti. Mereka menuduh Islam itu tidak adil, hanya kerna mereka tidak faham apa itu adil dalam Islam. Jua Islam dikatakan tidak sesuai pada zaman ini, hanya kerna ke-tidak faham-an perihal syariat.




“Islam itu datangnya dengan gharib, dan akan kembali dengan gharib...,” itu pengakuan baginda.

Benar, aku pelik. Akulah generasi yang mewarisi ke-pelik-an itu. Akulah generasi yang gharib itu.

Siapakah generasi yang dikatakan '
gharib' itu?

“...mereka ialah golongan yang memperbaiki keadaan yang dirosakkan manusia.” [H.R. Ahmad]




Daripada Tsauban r.a. berkata: Rasulullah saw. Bersabda,
"Hampir tiba suata masa di mana bangsa-bangsa dan seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka". Maka salah seorang sahabat bertanya, "Apakah dari kerana kami sedikit pada hari itu?" Nabi s.a.w. menjawab, "Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir, dan Allah s.w.t. akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah s.w.t. akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit 'wahan"'. Seorang sahabat bertanya, "Apakah wahan itu hai Rasulullah?" Nabi Muhammad s.a.w. kita menjawab, "Cinta pada dunia dan takut pada mati". [H.R. Ahmad]

No comments:

Post a Comment