Saturday, April 4, 2009

Kami Berbeza

Malam ini saya bertemu Mujahid dan Fahmi di sebuah gerai makan di Bangsar. Pelbagai perkara kami bualkan. Seronok. Hanya itu mampu saya luahkan, setelah lama tidak bersua dengan dua sahabat seperjuangan lantaran masing-masing sibuk dengan urusan tersendiri. Kami berselisih dalam banyak perkara, nyata pemikiran kami berbeza.

Syafi’in, Abu dan Muzzamil jua berbeza dengan saya. Kami berenam ada gaya dan pemikiran masing-masing dan saya amat meraikan hakikat itu. Itulah agaknya membuatkan kami begitu unik dan menjadi bahan bicara sesetengah orang.

Namun saya lebih berminat untuk brainstorm dan berbahas dengan Abu dan Mujahid lantaran merekalah pengkritik setia dalam hidup saya. Jujur, banyak perkara saya belajar daripada mereka. Gaya berfikir mereka begitu kritikal. Melalui mereka jualah saya belajar untuk berani menerima kritikan, kerna pemimpin tidak boleh lari dari kritikan terutama pabila kita mencabar tradisi.

Tidak wajar pada saya, pabila orang menerima pendapat tanpa memahaminya. Jua menolak tanpa menimbalnya. Saya suka pendapat saya dibahaskan, dikritik dan ditolak. Kerna saya hanya manusia, yang jelas ada kelemahan. Malah banyak saya belajar dan perbaiki diri melalui kritikan. Namun cukup saya tidak bersetuju, andai sesuatu pandangan itu diabaikan begitu sahaja.

Namun, ada jua persetujuan kami dalam beberapa perkara. Bukanlah kami berbeza hingga bermusuh, tapi saling melengkapi terutama untuk organisasi. Alhamdulillah, bersyukur kerna kami tidak bersama dalam satu bidang. Sebaliknya, berada di landasan masing-masing yang punya gerak kerja berlainan. Jua, pembawakan hidup dan jalan dakwah yang berbeza. Bersyukur saya kerna kami tidak membazirkan peluang yang ada untuk diterokai.

Apa yang pasti, kami akan terus berbahas dan saling mengkritik. Pastinya seronok pabila kami bertambah matang, perbincangan jua bertambah rancak nanti. Masing-masing dengan pemikiran yang unik dan tersendiri berbincang untuk sesuatu resolusi. Seronok. Hanya itu mampu terucap.

Moga terbentuknya wihdatul fikr wa wihdatul amal dalam kalangan kami hendaknya.

"Tentang sesuatu apapun kamu berselisih, maka putusannya (terserah) kepada Allah. (Yang mempunyai sifat-sifat demikian) itulah Allah Tuhanku. Kepada-Nya lah aku bertawakkal dan kepada-Nyalah aku kembali." [As-Syuura : 10]

No comments:

Post a Comment